Senarai Artikel

Isnin, 7 Ogos 2017

Guan Eng, Jawablah.. ? 

MUKADIMAH

BANYAK persoalan berlegar di fikiran Timbalan Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM), Datuk Huan Cheng Guan mengenai apa yang didakwanya sebagai kegagalan kerajaan DAP di Pulau Pinang.

Benarkah apa yang dipersoalkan oleh Cheng Guan berkisar isuisu melibatkan kepentingan rakyat negeri itu, yang dikongsinya dengan wartawan Utusan Malaysia, ZULKIFLI JALIL ketika dihubungi semalam.



Isu perumahan dikatakan membelenggu pentadbiran kerajaan DAP Pulau Pinang, benarkah?

CHENG GUAN : DAP perlu jelaskan berapakah jumlah wang yang telah disalurkan kerajaan negeri kepada Perbadanan Kemajuan Pulau Pinang (PDC) untuk pembinaan perumahan mampu milik. Ini dari hasil penjualan tanah tambakan laut Bayan Mutiara yang sering diuar-uarkan oleh kerajaan negeri sehingga 2016.

PDC difahamkan telah menerima suntikan kewangan RM500 juta daripada kerajaan negeri tetapi peliknya masih memerlukan pinjaman RM609 juta daripada kerajaan negeri untuk melaksanakan projeknya.

Mengapa isu ini dibangkitkan?

Batu Kawan adalah kawasan di daerah Seberang Perai Selatan dan kerajaan negeri Pulau Pinang sebelum ini memiliki tanah yang cukup dan boleh dibuat pembangunan di situ. Tetapi kenapa kerajaan DAP sejak 2012 lebih berminat dan memilih untuk menjual sebahagian besar tanah Batu Kawan kepada pemaju-pemaju swasta dan tidak diberikan kepada PDC untuk membangunkannya?

Ini seolah-olah menafikan peluang PDC untuk membangunkan tanah-tanah berkenaan, sekali gus menafikan peluang PDC untuk membuat keuntungan sehingga menyebabkan kerajaan perlu memberikan suntikan modal tambahan dalam bentuk pinjaman kepada PDC untuk 2017.

Selaku Ketua Menteri, Lim Guan Eng tak ambil kisahkah?

Pada 2012, Guan Eng pernah mengeluarkan kenyataan bahawa sekurang-kurangnya 18,000 unit rumah mampu milik dijangka dibina pihak kerajaan negeri di bawah Fasa 1 dan 2 Tabung Perumahan Mampu Milik RM500 juta dan ia telah pun dilancarkan pada 17 Februari 2012.

Namun sehingga kini tiada satupun rumah mampu milik yang telah dibina oleh kerajaan negeri. Walaupun kerajaan negeri memberi pinjaman kepada PDC namun sehingga kini perumahan mampu milik masih menjadi isu di Pulau Pinang.

Berjalan elokkah tadbir urus kerajaan negeri?

Berdasarkan laporan Ketua Audit Negara, Pulau Pinang sepatutnya berada dalam keadaan defisit dan bukannya lebihan bajet jika tidak kerana penjualan tanah oleh kerajaan negeri itu. Ini kerana lebihan bajet terkumpul sebanyak RM574 juta kerajaan Pulau Pinang yang diterajui DAP datang dari hasil penjualan tanah-tanah milik kerajaan negeri Pulau Pinang.

Perbelanjaan operasi kerajaan negeri meningkat sebanyak tiga kali ganda sejak 2008 hingga 2015. Peningkatan besar ini dijangka terus naik berikutan perbelanjaan operasi di bawah Bajet Pulau Pinang 2017 diunjurkan lima kali ganda daripada angka pada 2008.

DAP sering uar-uarkan dapat kurangkan hutang kerajaan negeri sehingga 95 peratus oleh kerana prinsip Cekap Telus dan Amanah (CAT) yang dipraktikkan, betulkah?

Apa yang saya difahamkan berlaku ialah Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Kerajaan Persekutuan telah mengambil alih hutang semasa kerajaan negeri berjumlah RM655 juta dan mengubahnya kepada bayaran tahunan sebanyak RM14.56 juta di mana kerajaan Pulau Pinang membayar kepada Kerajaan Persekutuan selama 45 tahun pada jumlah keseluruhan yang sama.

Untuk itu, daripada satu hutang, ia ditukar kepada pemajakan. Sebagai pulangannya, Kerajaan Pulau Pinang menjanjikan aset air dan tanah kepada Kerajaan Persekutuan.

Diterbitkan Oleh: 



Tiada ulasan:

Catat Ulasan