Senarai Artikel

Ahad, 5 Februari 2017

SIAPA LEBIH BIJAK BERPOLITIK ?



Naib Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM), Datuk Huan Cheng Guan (tengah) bersama ahli PCM menunjukkan laporan polis dan keratan akhbar mengenai isu rumah Lim Guan Eng di Balai Polis Perai, Butterworth, 16 Mac lalu.

BEBERAPA rakan memaklumkan kepada penulis, para pemimpin DAP yang dilihat ‘tidak sebulu’ de­ngan Lim Guan Eng enggan mengulas apabila diminta pandangan mereka berhubung isu pembelian banglo di bawah harga pasaran oleh Ketua Menteri Pulau Pinang itu.

Malah seorang bekas pemimpin DAP yang kini bergiat aktif dalam NGO meminta supaya kenyataan beliau mengkritik Guan Eng yang disiarkan sebuah portal berita pro­pem­bangkang tidak dipetik oleh media arus perdana.

Selain itu, penulis diberitahu ada dalam kalangan komponen BN pun berhati-hati untuk memberi ulasan kerana kata mereka; “... tidak untung apa-apapun.”

Sikap mereka itu menunjukkan betapa dalam keadaan apapun, mereka sama sekali tidak akan me­lakukan tindakan yang boleh merosakkan parti apatah lagi memburukkan pemimpin sendiri.

Tetapi malang sekali semangat itu tidak ada dalam kalangan sesetengah pemimpin UMNO yang ketika ini bertindak bagaikan ‘marahkan nyamuk, kelambu dibakar’.

Mereka bersedia bersekongkol dengan pemimpin-pemimpin pembangkang asalkan matlamat untuk menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tercapai. Tiada lagi perkiraan kesannya kepada parti, apa yang mahu mereka melihat ialah pemimpin yang mereka tidak suka disingkirkan.

Ternyata sekali lagi pembangkang khususnya pemimpin-pe­mimpin DAP jauh lebih bijak berpolitik. Walaupun mereka tahu apa yang berlaku boleh menjejaskan imej parti, tetapi mereka tetap mempertahankannya.

Kenapa mereka bertindak sedemikian? Segala-galanya kerana mereka meletakkan kepentingan parti mengatasi segala-galanya. Jika mereka ‘tumpang semangkuk’ untuk memburuk-burukkan pemimpin sendiri apatah lagi yang sebangsa dengan mereka maka yang akan rugi akhirnya parti mereka juga.

Justeru mereka tidak tergopoh-gapah atau mengikut nafsu ketika bertindak. Tetapi lihatlah apa yang berlaku di dalam UMNO sekarang. Ada pemimpin yang sanggup berada sepentas dengan ‘musuh politik’ semata-mata kerana tidak puas hati dengan kepemimpinan sendiri.

Sebenarnya apa yang berlaku tidaklah mengejutkan. Demikianlah corak politik orang Melayu sejak dulu lagi. Mereka bersedia berperang dan menjatuhkan sesama sendiri tanpa memikirkan kesannya kepada kuasa politik orang Melayu.

Sebab itulah sehingga ke hari ini terlalu sukar untuk melihat orang Melayu bersatu dalam memperjuangkan sesuatu isu. Berbeza fahaman politik bukan lagi dilihat dalam konteks amalan demokrasi, sebaliknya sudah dicemari dengan politik kebencian.

Walaupun mereka menguar-uarkan apa yang dilakukan adalah untuk ‘Selamatkan Malaysia’, tetapi hakikatnya membuka ruang kepada pakatan pembangkang ‘menangguk di air keruh’. Pembangkang tidak lagi perlu bersusah payah mencari idea atau jalan bagaimana mahu menumpaskan UMNO dan BN ke­rana segala-galanya ‘sudah diuruskan’ oleh kelompok yang ada antara mereka masih menjadi pemimpin dalam parti itu.

Sikap seumpama ini tidak ada dalam pembangkang. Lihat sahaja apa yang berlaku kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, walau apa juga keputusan mahkamah ke atas beliau, sama sekali tidak menjejaskan sokongan pemimpin-pemimpin pembangkang terhadap beliau. Sehingga ke hari ini, Anwar terus di­sanjung sebagai pemimpin utama pakatan pembangkang biarpun beliau kini menghabiskan masanya di sebalik tirai besi.

Oleh itu, adalah sesuatu yang malang bagi UMNO kerana terpaksa berhadapan dengan situasi ini. Kepemimpinan parti itu terus berhadapan dengan serangan demi serangan oleh kelompok yang mengaku kononnya mereka totok UMNO dan parti tersebut darah daging mereka.

Selama ini kita telah ditekankan dengan idealisme bahawa ‘seseorang pemimpin itu bukan sahaja nampak bersih tetapi mesti kelihatan bersih’, aneh sekali apabila ini seolah-olah terpakai kepada pemimpin-pemimpin UMNO dan BN sahaja.

Pemimpin-pemimpin pembangkang bukannya tidak memahami perkara itu, tetapi mereka lebih mengutamakan parti dan sama sekali tidak mahu terlibat dalam perbuatan yang boleh meranapkan peluang mereka bagi memerintah negara ini.

Tetapi orang Melayu tidak kira apapun fahaman atau parti yang mereka sertai tidak mempertimbangkan sudut tersebut. Sikap ini turut dipamerkan oleh sesetengah orang Melayu yang tidak terlibat dalam politik. Kelompok ini menjadikan laman sosial sebagai platform untuk mereka melepaskan geram.

Mana-mana pihak yang tidak ber­kongsi pendapat dengan me­re­ka akan dianggap ‘sudah dijamu dedak’. Mereka sanggup menja­tuh­kan maruah kelompok yang se­­bangsa dengan mereka semata-mata mahu memastikan apa yang dilakukan atau diperkatakan disokong oleh semua orang Mela­yu.

Persoalannya apakah sentimen yang sama, ada dalam pakatan pembangkang atau dipamerkan oleh kaum lain dalam berpolitik? Kalau benar mereka berjuang atas nama kebenaran, menegakkan keadilan dan kononnya mahu kepemimpinan politik yang bersih, kenapakah hanya ditumpukan kepada seorang pemimpin?

Apa yang merimaskan, biarpun segala tuduhan mereka sudah diperjelaskan satu persatu terma­suk juga dari segi undang-undang golongan berkenaan tetap tidak berpuas hati.

Namun yang peliknya, mereka tidak pula berkata apa-apa dalam isu melibatkan Guan Eng. Kenapakah mereka tidak menggesa beliau berundur? Kenapakah mereka tidak meminta beliau berhenti? Kenapakah mereka tidak merayu supaya rakyat bangkit menentang kepimpinan Ketua Menteri Pulau Pinang itu? Dan kenapakah mereka terus mengasak Guan Eng supaya tidak berdolak-dalik?

Atas sebab itulah penulis sentiasa berpendapat, kebijaksanaan orang Melayu kita berpolitik masih berada pada tahap yang rendah. Sehingga ke hari ini, kita masih belum mahu belajar kesannya kepada kuasa politik orang Melayu jika politik jatuh menjatuhkan antara satu sama lain terus diamalkan.

Pakatan pembangkang khusus­nya daripada kaum lain tidak akan melakukan tindakan seperti mana dilakukan oleh orang Melayu dalam UMNO. Dalam keadaan apa sekalipun mereka akan mempertahankan pemimpin mereka mati-matian, biarpun terpaksa mengeluarkan kenyataan yang dilihat hanya memperbodohkan diri sendiri.

Berdasarkan sikap orang Melayu berpolitik ketika ini, ada sebabnya orang tua-tua dahulu mencetuskan kisah Lebai malang, Pak Pandir dan Si Kitul. Siapakah ‘pewaris’ watak-watak itu?

Fikirlah sendiri.

http://www.utusan.com.my/rencana/siapa-lebih-bijak-berpolitik-1.206456#sthash.ZGaqB6CR.dpuf

Datuk Huan Cheng Guan
Naib Presiden Parti Cinta Malaysia

30 Mac 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan