Senarai Artikel

Khamis, 19 Januari 2017

Setiap Kali Ikut DAP, Mesti Akan Jadi Pengkhianat Dan Penderhaka



Salam sejahtera kepada seluruh rakyat Malaysia.

Sepanjang minggu ini, saya melihat senario politik pembangkang terutamanya PPBM, sudah semakin berjaya di doktrinisasikan oleh DAP. Saya sebenarnya agak terkejut apabila melihat seorang yang pernah berkhidmat untuk negara selama 22 tahun, bertukar menjadi seorang penderhaka kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar.

Jika sesiapa yang mengikuti perjalanan politik Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini, mungkin mereka akan teringat bagaimana beliau sanggup mempergunakan Almarhum Sultan Iskandar dalam usahanya untuk melemahkan kuasa Raja-Raja Melayu di negara ini.

Sebagai seorang anak Malaysia yang cintakan keamanan, menghormati ketatasusilaan dan toleransi, apa yang dilakukan Mahathir dan barisan kepimpinan parti bunga ini, boleh saya sifatkan sebagai biadab dan mencerminkan betapa kemaruknya mereka untuk berkuasa, sama seperti "tuan" mereka sekarang ini, DAP.

Sebagai bekas seorang anggota tentera, antara perkara yang sentiasa saya junjung adalah Rukun Negara yang menggariskan Kesetiaan Kepada Raja dan Negara. Dalam hal ini, Mahathir dan PPBM jelas telah melanggar ikrar taat dan sumpah setia kepada Raja dan Negara hanya disebabkan politik.

Seringkali saya tekankan bahawa, antara elemen terpenting sebagai seorang ahli politik adalah intergriti dan mempertahankan maruah negara. Namun dalam hal ini, Mahathir seperti orang sasau dan nyanyuk apabila lebih senang menderhaka kepada Sultan berbanding bermuhasabah diri dan menjaga kepentingan rakyat. 

Bukan rahsia lagi bahawa apa yang dilakukan Mahathir ini saling tidak tumpah seperti apa yang dilakukan DAP selama ini. Jika mereka menghormati institusi Istana, DAP tidak akan bersekongkol dengan mana-mana pihak untuk turun ke jalanan bagi mengadakan siri demo BERSIH, mempertikaikan penjawat awam dan sebagainya.

Mahathir dan seluruh pembangkang di negara ini harus ingat, pasukan pertahanan negara adalah tertakluk di bawah panji-panji Duli-Duli Yang Dipertuan Agong dan Raja-Raja Melayu. Jika inipun gagal dihormati, bagaimana mereka boleh melaungkan mereka mampu membawa Malaysia kearah yang lebih baik? Jangan menipulah Mahathir dan pembangkang.

Malaysia dibina hasil daripada kesepakatan antara 3 kaum utama di negara ini. Sudah termaktub dalam Perlembagaan Negara bahawa negara ini berteraskan sistem Raja Berpelembagaan dengan meletakkan Islam sebagai agama rasmi yang diketuai oleh Raja-Raja Melayu. Andai Mahathir bertindak menderhaka kepada Sultan, samalah ertinya Mahathir menentang Perlembagaan Negara!

Datuk Huan Cheng Guan
Naib Presiden
Parti Cinta Malaysia

Tiada ulasan:

Catat Ulasan