Senarai Artikel

Jumaat, 20 Januari 2017

Parti Cinta Malaysia Mendakwa Guan Eng Menghasut

Naib Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM) Datuk Huan Cheng Guan (dua, kiri) bersama anggota PCM menunjukkan laporan polis yang dibuat di Balai Polis Perai, Butterworth hari ini, berhubung kenyataan Ketua Menteri Lim Guan Eng yang didakwa meminta parti politik di Sarawak keluar daripada Barisan Nasional (BN).

Huan berkata kenyataan yang dibuat melalui ucapan Lim pada majlis Konvokesyen DAP Sarawak ke-18 di Sibu semalam, yang dibacakan oleh Naib Presiden DAP Chong Chieng Jen itu didakwa berbaur hasutan dengan meminta Sarawak untuk keluar dari Malaysia.

Parti Cinta Malaysia (PCM) menggesa polis menyiasat ucapan Lim Guan Eng di suatu konvensyen DAP yang dilihat seperti menghasut Sarawak supaya berpisah dari Malaysia.

Naib Presiden PCM Huan Cheng Guan berkata pihaknya khuatir membaca petikan ucapan Setiausaha Agung DAP itu seperti yang tersiar di portal Malay Mail Online.

“Kami buat laporan polis hari ini kerana Guan Eng dilaporkan seolah meminta Sarawak berpisah dari Persekutuan.

“Kami minta polis siasat dan ambil tindakan berdasarkan kepada laporan yang disiarkan Malay Mail Online,” kata Cheng Guan kepada pemberita di Balai Polis Prai hari ini.

Guan Eng di konvensyen DAP di Sibu semalam menyeru Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem dan parti bersekutu BN supaya meninggalkan perikatan itu sekiranya tuntutan autonomi dan penurunan kuasa daripada Persekutuan kepada Negeri tidak dipenuhi Putrajaya.

Menurut artikel Malay Mail Online itu, Ketua Menteri Pulau Pinang menggesa rakan sejawatnya supaya menetapkan tarikh akhir untuk Putrajaya menunaikan tuntutan autonomi, seperti yang diikrarkan dalam pilihan raya negeri lalu.

“Tan Sri Adenan Satem perlu beri tarikh akhir untuk keluar daripada BN sekiranya Kerajaaan Persekutuan BN enggan menyetujui tuntutan autonomi Sarawak seperti yang dijamin dalam Perjanjian Malaysia 1963 sehingga Perlembagaan Persekutuan 1963,” kata Guan Eng menurut portal itu.

“BN perlu diajar dan diingatkan tanpa Sarawak tidak ada Malaysia, begitu juga tanpa sokongan Ahli Parlimen Sarawak, BN akan kehilangan kuasa di peringkat Persekutuan,” katanya lagi menurut portal itu.

Datuk Huan Cheng Guan
Naib Presiden Parti Cinta Malaysia

31 Oktober 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan