Senarai Artikel

Ahad, 22 Januari 2017

Kerajaan DAP Pulau Pinang Didakwa Membazir


Kerajaan DAP Pulau Pinang didakwa membazir apabila membelanjakan RM35.94 juta untuk tujuan penerbitan Buletin Mutiara sejak 2010.

Naib Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM), Datuk Huan Cheng Guan mendakwa, ini kerana Buletin Mutiara itu yang sepatutnya menjadi bahan berita untuk menyuarakan hal-hal berkaitan kepentingan rakyat negeri Pulau Pinang telah menjadi buletin menyebarkan propaganda DAP.

“Buletin Mutiara telah menjadi suara DAP, jika kita lihat bahan-bahan yang disiarkan di dalam­nya hanya berkisar mengenai DAP.

“Hanya sedikit sahaja berita mengenai rakyat Pulau Pinang disiarkan di situ, tidak wajar kerajaan DAP Pulau Pinang mem­belanjakan wang rakyat yang begitu banyak untuk penerbitan Buletin Mutiara,” katanya kepada Mingguan Malaysia hari ini.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dilaporkan berkata, kerajaan DAP Pulau Pinang telah membelanjakan RM35.94 juta bagi menerbitkan Buletin Mutiara sejak 2010.

Guan Eng berkata demikian bagi menjawab soalan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Muhammad Farid Saad sewaktu sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) berlangsung minggu lalu.

Menurut Cheng Guan, jumlah wang yang sebegitu banyak sepatutnya digunakan oleh kerajaan DAP Pulau Pinang untuk memperkasa agenda rakyat seperti membina rumah-rumah kos rendah untuk rakyat yang kurang berkemampuan.

“Rakyat perlukan rumah, mereka tidak perlukan berita-berita propaganda yang disebarkan DAP melalui Buletin Mutiara.

“DAP, jika mahu menyebarkan propaganda parti gunakan wang parti,” jelas­nya.

Katanya, laporan polis akan dibuat untuk menyiasat me­ngenai penggunaan wang dalam penerbitan Buletin Mutiara.

Datuk Huan Cheng Guan
Naib Presiden Parti Cinta Malaysia

17 Julai 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan